ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Lebuh Putra Utama, Kulai, malam tadi. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Lebuh Putra Utama, Kulai, malam tadi. FOTO ihsan bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


PERUNDING hartanah maut selepas kereta Mercedes Benz dipandunya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan serta tiang lampu sebelum terbabas ke dalam semak di Jalan Lebuh Putra Utama dekat Kulai, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.50 malam, S Vadivaloo, 44, meninggal dunia di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) Kulai.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai akibat kegagalan pemandu mengawal kenderaan hingga hilang kawalan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang memandu seorang diri dari arah lurus Bandar Putra ke Skudai gagal mengawal kenderaannya hingga terlanggar tembok pembahagi jalan dan kemudian terlanggar tiang lampu di bahu kiri jalan.

“Kenderaan itu kemudian terbabas dalam semak di bahu kanan jalan dipercayai akibat dipandu laju,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit cedera parah pada beberapa bahagian badan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

Menurutnya, kenderaan itu akan dibawa ke PUSPAKOM) Senai untuk pemeriksaan lanjut.

Dalam pada itu, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai diketuai Abd Malik Abd Rahman bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kemalangan sebaik menerima panggilan kecemasan untuk membantu mengeluarkan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 2:48 PM