Izlaily Nurul Ain Hussein


PELAJAR lelaki Tingkatan Lima maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 38.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Kulai, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 2.50 pagi itu, Mohammad Fareez Mohammad Rosli, 17, dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kepala serta badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, kemalangan itu membabitkan empat kenderaan iaitu lori Ford, Perodua Axia, motosikal Honda Dash dan Yamaha LC135.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal Honda Dash yang menunggang seorang diri dari arah utara ke selatan gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar bahagian belakang lori yang bergerak di lorong kiri.

"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal terjatuh di atas jalan dan pada masa sama datang kereta Perodua Axia dan pemandu kereta itu tidak sempat mengelak penunggang motosikal yang jatuh di hadapannya.

"Kereta berkenaan terlanggar motosikal dan penunggangnya itu kemudian hilang kawalan dan melanggar belakang lori sebelum datang sebuah lagi motosikal yang tidak sempat mengelak lalu terbabas," katanya.

Menurut beliau, mangsa yang maut adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelapa Sawit dan beralamat di Taman Scientex, Kulai.

Katanya, akibat kemalangan itu, pemandu kereta, T Sanmuga, 45, dan penunggang sebuah lagi motosikal yang terbabit, Arif Ridzuan Masran, 17, cedera dan dirawat di Hospital Temengggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di Kulai manakala pemandu lori, Zainal Abidin Shamsuddin, 65, tidak cedera.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 11:24 AM