Raja Noraina Raja Rahim


Hulu Selangor: Mayat lelaki dewasa yang ditemukan bersama dua anjing dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi runtuhan di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali di sini, dikenal pasti sebagai Eric Ng Chay Diok

.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, mayat mangsa sudah dituntut keluarga di Hospital Sungai Buloh (HSB) pagi ini.

Beliau berkata, identiti mangsa disahkan melalui proses pengecaman waris di hospital berkenaan.

"Mayat mangsa korban ke-25 iaitu kanak-kanak perempuan dan mangsa ke-26 sudah dituntut keluarga masing-masing pada semalam dan pagi ini.

"Salah satu mangsa itu adalah waris yang membuat laporan polis dan hadir ke lokasi kejadian sebelum ini.

"Setakat ini, polis menerima tiga laporan mengenai kehilangan ahli keluarga," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian di sini, hari ini.

SUFFIAN pada sidang media mengemaskini maklumat terbaru operasi mencari dan menyelamat baki mangsa tanah runtuh Father’s Organic Farm, Batang Kali. FOTO Asyraf Hamzah
SUFFIAN pada sidang media mengemaskini maklumat terbaru operasi mencari dan menyelamat baki mangsa tanah runtuh Father’s Organic Farm, Batang Kali. FOTO Asyraf Hamzah

Semalam, media melaporkan mayat kanak-kanak perempuan berusia anggaran enam hingga 10 tahun ditemukan jam 11.15 malam kelmarin sebelum mayat lelaki yang juga mangsa ke-26 ditemukan dalam keadaan berpelukan dengan seekor anjing pada jam 11.16 pagi semalam.

Dalam penemuan itu, turut ditemukan bangkai seekor lagi anjing berhampiran dengan mayat mangsa lelaki terbabit.

Terdahulu, Persatuan Pencinta Haiwan Malaysia (MAA) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Eric Wong yang lebih dikenali Uncle Eric dalam kalangan pencinta haiwan.

"Kasih sampai mati. Ini namanya hidup bertiga mati bersama. Mayat Uncle Eric Wong Chai Chong ditemui berpelukan dengan salah seekor anjing peliharaannya dan seekor lagi di sisinya.

"Manakala seekor lagi anjing tidak ditemui dipercayai masih tertimbus. Menjadikan Uncle Eric mangsa ke-26 ditemui dalam insiden tanah runtuh," kata kenyataan di Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 2:06 PM