Raja Noraina Raja Rahim


Hulu Selangor: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali di sini, dihentikan sementara berikutan hujan lebat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, operasi dihentikan kira-kira jam 4.30 petang.

"Kami menghentikan operasi sementara pada jam 2.30 petang kerana hujan tetapi bersambung semula selepas kira-kira sejam.

"Bagaimanapun, operasi dihentikan sekali lagi selepas hujan semula, malah lebih lebat," katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata, keselamatan pasukan penyelamat perlu diambil kira kerana lokasi pencarian berisiko apabila hujan dan operasi akan disambung semula sekiranya hujan berhenti.

Beliau dalam sidang media pagi ini memaklumkan empat mayat mangsa iaitu seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, seorang kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki ditemukan di lokasi tanah runtuh oleh pasukan SAR pada jam 11.04 pagi.

Beliau dipetik berkata, kesemua mayat mangsa ditemui dalam satu bungkusan khemah di Sektor C (River Side) pada kedalaman tujuh meter di bawah tanah.

SUPERINTENDAN Suffian Abdullah (kanan) pada sidang media bagi mengemaskini maklumat terbaru operasi mencari dan menyelamat baki mangsa tanah runtuh Father’s Organic Farm, Batang Kali. FOTO Asyraf Hamzah.
SUPERINTENDAN Suffian Abdullah (kanan) pada sidang media bagi mengemaskini maklumat terbaru operasi mencari dan menyelamat baki mangsa tanah runtuh Father’s Organic Farm, Batang Kali. FOTO Asyraf Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 5:45 PM