Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

Hulu Selangor: Polis mengesahkan penemuan mayat kanak-kanak lelaki yang juga mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm Jalan Genting-Batang Kali di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, mangsa dianggarkan berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

"Mayat mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 4.53 petang dalam keadaan masih lengkap berpakaian namun sudah mula mereput.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat," katanya dalam sidang media di lokasi hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, mangsa terakhir insiden tanah runtuh yang juga kanak-kanak lelaki ditemukan pasukan SAR di lokasi kejadian.

Penemuan terkini itu menjadikan keseluruhan 31 mayat mangsa berjaya ditemukan sejak tragedi berlaku awal pagi 16 Disember lalu.

Sebelum ini, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong memaklumkan terdapat seorang lagi yang belum ditemui daripada 26 mangsa yang terbabit dengan tragedi tanah runtuh itu.

Mangsa dikenali Eng Shao Qi berusia 11 tahun.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, U Chin Ong dilaporkan berkata, murid Tahun Lima itu adalah anak kepada pengusaha kantin di sekolah.

Pada 16 Disember lalu, seramai 92 mangsa terbabit kejadian runtuhan cerun yang menyebabkan 61 orang selamat dan 31 disahkan terkorban.

Perincian mangsa meninggal dunia ialah 14 wanita dewasa, enam lelaki dewasa, tujuh kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.

SUFFIAN ketika sidang media penemuan mangsa terakhir ketika operasi mencari mangsa tanah runtuh Father’s Organic Farm, Batang Kali. FOTO ASYRAF HAMZAH
SUFFIAN ketika sidang media penemuan mangsa terakhir ketika operasi mencari mangsa tanah runtuh Father’s Organic Farm, Batang Kali. FOTO ASYRAF HAMZAH

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 7:08 PM