Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

Hulu Selangor: Penemuan aliran cecair di tebing disyaki cecair mayat oleh pegawai penguasa kanan bomba yang menjalankan kerja operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sektor A berjaya menemui mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di Jalan Genting-Batang Kali di sini, petang tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mangsa terakhir itu ditemui di tebing kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan.

Menurutnya, pegawai bomba terbabit yang menjalankan operasi SAR mengesan aliran cecair di tebing itu di mana dia mengesyaki ada sesuatu yang pelik seperti cecair mayat.

"Pasukan SAR kemudian cuba menggali dengan menggunakan cangkul dan alat sekop sebelum menemui beg tidur di mana mangsa berada di dalamnya.

"Mangsa ditemui pada kedalaman 1.5 meter di tebing terbabit," katanya pada sidang media di lokasi tanah runtuh itu, hari ini.

Wan Md Razali berkata, secara keseluruhan 20 mayat ditemui di Sektor A, seorang di Sektor B dan 10 lagi di Sektor C.

Harian Metro hari ini melaporkan mayat kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia 11 tahun itu ditemukan pasukan SAR di lokasi pencarian pada jam 4.53 petang.

Ini menjadikan seramai 31 orang disahkan terkorban manakala 61 mangsa berjaya diselamatkan dalam tragedi membabitkan 92 orang.

WAN Md Razali Wan Ismail dalam sidang media selepas penemuan mangsa terakhir ketika operasi mencari mangsa tanah runtuh Father’s Organic Farm, Batang Kali. FOTO ASYRAF HAMZAH
WAN Md Razali Wan Ismail dalam sidang media selepas penemuan mangsa terakhir ketika operasi mencari mangsa tanah runtuh Father’s Organic Farm, Batang Kali. FOTO ASYRAF HAMZAH

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 6:55 PM