Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Hidayah Bahaudin


Hulu Selangor: Operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) kanak-kanak lelaki mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, di sini, hari ini, ditangguhkan berikutan hujan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah memaklumkan penangguhan operasi itu dibuat berikutan faktor keselamatan.

Hujan lebat mula turun di lokasi pencarian 5.40 petang tadi.

Op SAR pada hari ini bermula sejak 8 pagi tadi selepas ditangguhkan sementara sekitar 4.30 petang, semalam, berikutan hujan lebat.

Semalam, Harian Metro melaporkan jumlah mangsa yang diisytiharkan semula secara rasmi seramai 92 individu daripada jumlah asal dianggarkan 94 individu.

Sebelum ini, polis menganggarkan seramai 94 mangsa terbabit dalam tragedi tanah runtuh berkenaan berdasarkan maklumat daftar masuk yang diperoleh daripada pihak pengurusan tapak perkhemahan terbabit.

Terdahulu, empat mayat terdiri daripada seorang lelaki, seorang wanita serta dua kanak-kanak masing-masing lelaki dan perempuan ditemukan 11.04 pagi di sektor C (Riverside), di sini, semalam.

Semua mangsa berkenaan ditemui dalam satu bungkusan khemah pada kedalaman tujuh meter.

Secara keseluruhan, seramai 92 individu terbabit dalam insiden berkenaan dengan 61 mangsa berjaya diselamatkan manakala 30 mangsa disahkan terkorban dengan seorang lagi mangsa masih hilang.

Keadaan Jalan Batang Kali-Genting, Hulu Selangor.
Keadaan Jalan Batang Kali-Genting, Hulu Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 6:06 PM