BERNAMA

Hulu Selangor: Seramai 21 mangsa tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Fathers' Organic Farm di sini disahkan meninggal dunia setakat jam 7.10 malam ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, 12 lagi mangsa masih belum ditemukan dan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan sehingga kini oleh agensi penyelamat.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta semua agensi penguat kuasa telah dimobilisasi sepenuhnya bagi usaha mencari dan menyelamat.

"Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat akan terus memantau bersama ketua agensi di tempat ini dari semasa ke semasa dan akan memaklumkan pihak media dan khalayak ramai mengenai perkembangan kejadian ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat dan mendengar taklimat berhubung insiden berkenaan yang turut dihadiri Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurut dapatan awal daripada siasatan Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Mineral dan Galian (JMG), Ahmad Zahid berkata, beliau dimaklumkan terdapat dua aliran air bawah tanah di lokasi runtuhan.

"Kita berdoa mudah-mudahan ada yang selamat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan bantuan kerajaan kepada semua waris mangsa kejadian itu.

Insiden sekitar jam 2.42 pagi hari ini di tapak perkhemahan Father's Organic Farm membabitkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter.

Operasi SAR giat dilakukan sejak awal pagi tadi membabitkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

AHMAD Zahid meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
AHMAD Zahid meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 8:24 PM