TAKYUDDIN bersama Ketua Hamzah Zainuddin dan ahli pembangkang mengadakan sidang media. FOTO Aizuddin Saad
TAKYUDDIN bersama Ketua Hamzah Zainuddin dan ahli pembangkang mengadakan sidang media. FOTO Aizuddin Saad
Mahaizura Abd Malik dan Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Blok pembangkang berpendapat tidak wajar membuat usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah mendapat watikah pelantikan jawatan itu daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, justeru, tujuan usul itu dibawa ke Parlimen dilihat bukan keperluan kerana Yang di-Pertuan Agong sudah melantik Anwar di bawah Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan.

"Selepas dilantik Perdana Menteri, dia (Anwar) sudah membentuk Kerajaan. Jadi apa perlu lagi membawa satu usul percaya melainkan hasrat Perdana Menteri untuk membuktikan berapa sokongan terhadapnya...majoriti mudah (atau) dua pertiga dan sebagainya.

"Ini yang berlaku dalam Dewan (Rakyat) hari ini didapati bahawa sokongan terhadap Perdana Menteri (jumlah sebenar) berapa orang yang menyokong daripada 222 Ahli Parlimen tidak diketahui," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan beberapa Ahli Parlimen blok itu selepas sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, blok pembangkang membangkitkan isu mengenai perjanjian persefahaman (MoU) antara lima gabungan parti politik utama dalam Kerajaan disifatkan bercanggah dengan perlembagaan, termasuk hak keputusan seseorang Ahli Parlimen, kebebasan bersuara dan akta lompat parti.

Menurutnya, mengenai usul undi itu, mereka tetap dengan pendirian tidak mengundi atau tidak menyebut setuju atau tidak dalam proses itu yang menyaksikan ia diluluskan dengan undian suara tanpa keputusan angka.

"Kita berasa berpuas hati. Pendirian kita tidak mengundi tadi ataupun tidak menyebutkan setuju atau tidak kerana kita tidak mahu terbabit dalam mengundi satu dokumen yang tidak sah.

"Kita tidak minta (kertas) undi sebab kita tidak mengundi. Biasanya kalau kita nak tahu berapa undi diberi kita mintalah undi belah bahagi.

"Kita tidak minta (dan) pihak sana juga tidak minta. Kita tidak tahu sebab apa dia (blok kerajaan) tak minta (tetapi) itu dia punya urusan, kes sudah selesai dan tiada angka (keputusan undi percaya)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 8:39 PM