DATUK Seri Anwar Ibrahim. FOTO Eizairi Shamsudin.
DATUK Seri Anwar Ibrahim. FOTO Eizairi Shamsudin.
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


KEGAGALAN Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Rakyat berpunca daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berkecuali untuk mengambil bahagian dalam undian dibuat.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal mendapat dua pertiga undi untuk meluluskan RUU berkenaan.

“Kita berusaha menunaikan janji dalam manifesto untuk meminda Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan kita menunaikannya dengan membentang dan membahaskannya di Dewan Rakyat hari ini.

“Namun, UMNO dan BN berkecuali, (mereka) tidak mengundi. Tidak mengapa, dia (pembangkang) tidak bagi alasan yang jelas mengapa, tapi dia berapa lama perintah pun tidak buat (pindaan),” katanya ketika berucap pada kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Mambau, Rantau, malam tadi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, 50 Ahli Parlimen membahaskan usul itu dan kerajaan memerlukan 148 undi yang menyokong untuk mendapat majoriti dua pertiga.

“Tetapi hanya dapat 138 undi, tidak mengapa. Akan tetapi saya berpuas hati, saya bangun menyokong usul dibentangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini bukti kami mahu tunaikan janji untuk kembalikan status Sabah dan Sarawak seperti termaktub di dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963,” katanya.

RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019, tidak dapat diluluskan di Dewan Rakyat malam tadi kerana kerajaan gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen untuk meminda Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan.

Dalam undian belah bahagi itu, hanya 138 Ahli Parlimen mengundi untuk meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi Perkara 1(2) di Dewan Rakyat.

Sedangkan sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan undian dua pertiga atau 148 undian daripada 221 Ahli Parlimen berikutan kekosongan kerusi Parlimen Sandakan.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof ketika membacakan keputusan berkata, 138 undi bersetuju dengan pindaan berkenaan manakala tiada undian yang tidak bersetuju dan 59 undi berkecuali.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 1:40 AM