ANWAR Ibrahim. FOTO arkib NSTP
ANWAR Ibrahim. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Parti pembangkang tidak akan mempersulit kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita beritahu (kepada Perdana Menteri) kalau suasana dan program-program itu agak pro rakyat kita tak akan persulitkan.

"Kita beri jaminan kalau program pro rakyat, program menangani Covid-19 ini lebih berkesan, maka kita tiada masalah untuk menjamin keadaan lebih terkawal," katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Anwar berkata demikian mengulas mengenai gesaan supaya usul undi percaya terhadap Ismail Sabri dilakukan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Dua lagi pemimpin pembangkang iaitu Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut menyertai pertemuan itu yang dibuat atas jemputan Pejabat Perdana Menteri.

Ketiga-tiga pemimpin itu tiba di Bangunan Perdana Putra pada 2 petang dengan menaiki kenderaan berasingan dan pulang kira-kira 3.30 petang.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menggesa undi percaya terhadap Ismail Sabri dilakukan segera di Parlimen.

Gesaan itu disokong oleh Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin dengan menyatakan bahawa usul undi percaya perlu dilakukan meskipun Ahli Parlimen Bera itu sudah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata dalam pertemuan lebih sejam itu, beliau telah mengemukakan isu menangani permasalahan Covid-19 yang lebih berkesan, program-program pro rakyat yang lebih menyentuh permasalahan golongan miskin dan kehilangan pekerjaan.

"Itu kita tekankan sebagai yang asas. Jadi untuk mententeramkan dan mengurangkan suhu politik itu memang dipersetujui," katanya sambil menambah beliau berharap isu-isu itu akan menjadi keutamaan Perdana Menteri baharu.

Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Ismail Sabri kerana meluangkan masa berbincang dengan parti-parti pembangkang.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan lebih sejam hari ini, Perdana Menteri berkata, ia juga tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19.

Ini termasuk dalam menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Ismail Sabri berkata, ia juga diadakan bagi menjunjung dan merealisasikan titah hasrat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 7:05 PM