ZAHIDI (tengah) menyampaikan ucapan sempena Program Cambah Minda bersama Komuniti Keluarga Malaysia di Pusat Media di perkarangan Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar. FOTO Aizat Sharif
ZAHIDI (tengah) menyampaikan ucapan sempena Program Cambah Minda bersama Komuniti Keluarga Malaysia di Pusat Media di perkarangan Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


Kangar: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menyarankan Parlimen dibubarkan berikutan kegagalan kerjasama Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang termeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada September lalu susulan penolakan usul kerajaan di Parlimen pada Rabu lalu.

Zahidi berkata, secara peribadi beliau melihat kegagalan kerjasama antara kerajaan dan pembangkang untuk bersetuju melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi tempoh lima tahun lagi pada pembentangan usul di Parlimen itu mencerminkan ketidakstabilan politik negara ketika ini.

"Kita melihat bahawa adalah lebih baik kita batalkan MoU itu kerana kita lihat bukan saja blok pembangkang tidak bersetuju dengan usul itu tetapi ada kumpulan kerajaan terutama dalam kalangan Umno yang dilihat sengaja tidak hadir ke Parlimen. Ini sekali gus menunjukkan mereka tidak bersetuju dengan apa yang disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Jadi apabila dalam kalangan Umno juga tidak bersetuju dengan usul ini, maka lebih baiklah kita buat Pilihan Raya Umum (PRU) dengan membubarkan Parlimen kerana jika isu ini berterusan maka ia akan menjejaskan keyakinan pelabur disebabkan politik tidak stabil.

"Jika tidak stabil, maka tidak adalah pelabur yang ingin membuat pelaburan di negara kita menyebabkan ekonomi negara sukar berkembang sehingga menyukarkan peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Cambah Minda bersama Komuniti Keluarga Malaysia di Pusat Media sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di perkarangan Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Besar serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata, apabila kedua-dua blok sudah tidak mampu bersetuju maka pilihan raya adalah jalan terbaik kerana ini juga adalah hasrat perwakilan ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini.

"Kita lihat Datuk Najib (Datuk Seri Najib Razak), Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pun tidak hadir malah beberapa wakil kerajaan pun sengaja mengundi tidak setuju, jadi kita berharap pilihan raya sahajalah langkah terbaik.

"Ini adalah pendapat peribadi saya dan juga kawan lain (dalam Umno) yang merasakan bahawa untuk kebaikan kerajaan maka percepatkan PRU dan ini adalah hasrat yang disampaikan perwakilan Umno semasa PAU yang meminta dipercepatkan pilihan raya," katanya.

Pada Rabu lalu, ahli parlimen pembangkang dan beberapa ahli parlimen kerajaan didakwa melanggar MoU Transformasi dan Kestabilan Politik apabila menolak usul dikemukakan kerajaan berkaitan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 di Dewan Rakyat.

Tindakan berkenaan menyebabkan Dewan Rakyat gagal meluluskan usul melanjutkan tempoh kuat kuasa usul berkenaan untuk tempoh lima tahun lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 4:55 PM