Mahaizura Abd Malik dan Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi teguran kepada Ahli Parlimen supaya menjaga adab dan pertuturan ketika bersidang bagi memelihara kemuliaan dan imej institusi Parlimen.

Anwar membuat teguran itu ketika menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Johari Abdul atas lantikan sebagai Speaker Dewan Rakyat baharu.

"Yang Dipertua di kesempatan awal ini, saya ingin mengucapkan tahniah atas lantikan dan saya percaya tugas ini mencabar seperti yang kita lihat gelagat berlaku semalam.

"Bagi pihak Kerajaan, saya beri jaminan dan Timbalan Perdana Menteri Kedua sebagai Ketua Whip, Datuk Seri Fadillah Yusof sudah diminta memaklumkan kepada Ahli Yang Berhormat untuk menjaga susila di dewan ini.

"Apapun perkembangan tidak melanggar batas adab dan susila serta menghormati peraturan dewan.

"Saya harap juga hal sama dilakukan Ketua Whip pembangkang," katanya bagi memulakan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Anwar berkata, beliau menyerahkan kepada Johari untuk menyelesaikan isu berkenaan termasuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang ingkar.

"Kita tahu sidang Parlimen ini ditonton...kita boleh berbeza pendapat, boleh bertengkar tetapi harus jaga kemuliaan dewan ini dan tidak keterlaluan kerana ini akan ditertawakan oleh rakyat dan melihat seluruh dewan ini menjadi gelanggang seperti mana disebut dalam sosial media sebagai sarkas.

"Jadi, hal ini saya serahkan kebijaksanaan Yang Dipertua...saya beri jaminan kita memberi sokongan penuh (supaya) mengambil tindakan yang perlu ke atas Ahli Yang Berhormat kerajaan mahupun pembangkang," katanya.

Semalam, Persidangan Dewan Rakyat kecoh dan tegang apabila beberapa Ahli Parlimen termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berperang mulut antara wakil rakyat blok kerajaan selepas beliau mempertikaikan keperluan usul undi percaya kepada Perdana Menteri.

Perang mulut itu berlarutan hingga ada antara mereka menggunakan bahasa kurang sopan termasuk beruk, penyamun dan bodoh sebelum keadaan ditenangkan Johari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 3:04 PM