KEADAAN rumah Mokhtar Md Sah selepas hampir sebulan isu banjir di Lorong Mesra tidak menunjukkan tanda-tanda reda. FOTO Muhammad Lokman Khairi
KEADAAN rumah Mokhtar Md Sah selepas hampir sebulan isu banjir di Lorong Mesra tidak menunjukkan tanda-tanda reda. FOTO Muhammad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Seorang warga emas di Lorong Mesra, Kampung Batu 7 dekat sini terpaksa meredah air banjir setiap kali ingin mandi dan memasak.

Menurut Zakiyah Hussain, 61, bahagian dapur dan bilik air di rumahnya sudah ditenggelami air banjir sejak sebulan lalu dan memaksa mereka berpindah dua kali sebelum ini.

Ibu kepada enam orang anak itu berkata, dia baru sahaja dibenarkan pulang ke rumah pada tengah hari khamis lalu, namun petang itu air banjir kembali naik kerana hujan berterusan.

"Beginilah kami berlima dalam rumah ini. Bukan tidak mahu berpindah, tapi agak susah mahu urus diri di pusat pemindahan sementara (PPS) lagi-lagi perlu mandi dalam tandas yang tidak selesa dan ramai orang.

"Mak cik dah tak larat nak berpindah. Sebulan lepas di Dewan SMART (Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib). Kemudian diarah berpindah ke Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak pula.

"Waktu malam risau juga bila dengar bunyi tikus, mak cik risau kalau itu tanda ada ular (kerana kawasan rumahnya di kelilingi ladang kelapa sawit)," katanya ketika ditemui di Lorong Mesra, Kampung Batu 7, di sini, hari ini.

Zakiyah kini tinggal bersama seorang anak lelakinya, menantu dan dua orang cucunya masing-masing berusia lapan bulan dan tiga tahun.

"Sebelum ini ada pemimpin tempatan yang janjikan untuk pindahkan penduduk Lorong Mesra ke kawasan perumahan baru di Ayer Hitam, berdekatan dengan pekan Langkap.

"Tapi sehingga hari ini, belum ada khabar berita tentang projek pembinaan itu," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Mokhtar Md Sah, 77, berkata, sudah hampir tujuh tahun dia dan keluarga menunggu untuk berpindah.

"Saya harap pihak kerajaan dapat bantu kami. Bantulah kami, setiap tahun kami hadap masalah banjir ini," katanya.

Berdasarkan laporan harian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak setakat 2 petang ini, bilangan mangsa banjir di Perak berjumlah 134 orang membabitkan 31 keluarga.

Semua mangsa ditempatkan di PPS di Dewan SMK Abdul Rahman Talib.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 6:33 PM