KEADAAN banjir di Lorong Mesra petang tadi memaksa penduduk berpindah ke PPS untuk kali keenam. FOTO IHSAN APM.
KEADAAN banjir di Lorong Mesra petang tadi memaksa penduduk berpindah ke PPS untuk kali keenam. FOTO IHSAN APM.
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Bilangan mangsa banjir di Perak meningkat jam 10 malam ini apabila sejumlah 46 mangsa daripada 16 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk.

Berdasarkan laporan harian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak, jumlah itu bertambah berbanding yang direkodkan jam 6 petang tadi apabila 26 mangsa daripada 12 keluarga membabitkan daerah Bagan Datuk.

Di Hilir Perak, PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib dibuka semula jam 7 malam tadi bagi menempatkan seramai 20 mangsa daripada empat keluarga. Semua mereka terdiri daripada penduduk Lorong Mesra, Kampung Batu 7 ½.

Ini adalah kali keenam penduduk di lorong terbabit terpaksa berpindah sejak November lalu.

Di Bagan Datuk, PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat bagi menempatkan 26 mangsa daripada 12 keluarga. Mereka terdiri daripada penduduk Kampung Sungai Belukang, Kampung Sungai Tiang Darat dan Kampung Sungai Nipah Darat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 11:58 PM