Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: "Saya pulang ke rumah tiga kali sehari untuk beri makan lapan kucing," kata Mohd Shahrizan Nawawi, 40, penduduk Kampung Batu 8, Changkat Jong yang kini ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir sejak semalam.

Katanya, dia tidak ada pilihan dan terpaksa memindahkan haiwan peliharaan kesayangannya itu di rumah kosong di hadapan rumahnya kerana tidak mahu mengganggu keselesaan mangsa lain di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, di sini.

"Memang tak sampai hati tinggalkan mereka di rumah kosong ini tetapi saya tak boleh buat apa kerana kami terpaksa berpindah ke PPS selepas rumah dinaiki air setinggi hampir 0.6 meter.

"Rumah kosong itu terletak di kawasan tinggi dan tidak dinaiki air. Saya pulang ke rumah tiga kali sehari untuk beri mereka makan.

"Tak sedap hati kalau tak balik tengok mereka, malah anak juga kerap bertanyakan kucing-kucing yang saya bela sejak 10 tahun lalu itu," katanya ketika ditemui di PPS SMK Abdul Rahman Talib hari ini.

Manakala penduduk Kampung Batu 7 1/2, Lorong Mesra, Rashida Darus, 32, berkata keluarganya berpindah ke PPS berkenaan jam 3 pagi semalam.

"Saya berharap air akan surut cepat dan dapat pulang ke rumah. Penduduk juga berharap pihak berkenaan mengotakan janji untuk memindahkan lebih 30 penduduk kampung yang kerap dilanda banjir ke Kampung Ayer Hitam.

"Saya harap janji itu dikotakan dan kami dapat berpindah kerana sudah tak larat asyik berdepan banjir dua hingga tiga kali setahun.

"Rumah saya di belakang Sungai Bidor jadi kalau banjir ia terjejas teruk. Sudah lama sangat kami tunggu hingga kini masih belum dapat pindah," katanya.

MOHD Shahrizan menyelamatkan kucing peliharaanya sebelum pulang ke pusat pemindahan di SMK Abdul Rahman Talib di Changkat Jong, Teluk Intan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
MOHD Shahrizan menyelamatkan kucing peliharaanya sebelum pulang ke pusat pemindahan di SMK Abdul Rahman Talib di Changkat Jong, Teluk Intan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Setakat jam 4 petang ini, jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 264 orang membabitkan 73 keluarga yang dipindahkan ke tiga PPS di Hilir Perak dan Muallim.

Jumlah itu meningkat berbanding 242 orang membabitkan 65 keluarga pada jam 8 pagi tadi.

Setakat ini, Hilir Perak masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila 225 mangsa banjir daripada 62 keluarga di daerah Hilir Perak masih ditempatkan di dua PPS.

PPS SMK Abdul Rahman Talib menempatkan 140 mangsa daripada 35 keluarga, manakala 85 mangsa daripada 27 keluarga pula dipindahkan ke PPS di Dewan Bandaran Teluk Intan.

Di Muallim pula, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim menempatkan 39 orang membabitkan 11 keluarga daripada Kampung Kuala Slim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 5:48 PM