MOHAMAD Salehuddin mencuci rumah mentuanya setelah tiga minggu dilanda banjir. FOTO Muhamad Lokman Khairi.
MOHAMAD Salehuddin mencuci rumah mentuanya setelah tiga minggu dilanda banjir. FOTO Muhamad Lokman Khairi.
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Selepas berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selama tiga minggu, seorang warga emas bersyukur kerana dapat pulang ke rumahnya semula.

Mokhtar Md Sah, 77, berkata dirinya cukup gembira dapat kembali ke rumah setelah terpaksa berpindah sejak 14 November lalu apabila rumahnya di Lorong Mesra, Kampung Batu 7, Changkat Jong dilanda banjir.

Menurutnya, ini adalah banjir terburuk yang pernah dialaminya sepanjang 30 tahun menetap di kampung itu.

"Sebelum ini, air banjir cuma sampai paras tangga saja, tidak pernah pun sampai masuk rumah. Inilah pertama kali air masuk ke bahagian ruang tamu rumah.

"Mujurlah dua anak lelaki pakcik ada ketika air mula naik, mereka yang berhempas-pulas selamatkan barang-barang.

"Pakcik rasa cukup seronok dapat balik semula ke rumah hari ini," kata Mokhtar yang ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, sebelum dipindahkan pula ke PPS Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak.

Seorang lagi mangsa banjir, Mohamad Salehuddin Khuzai, 46, berkata bahawa dia dan keluarga reda dengan ujian banjir ini.

"Ini adalah pertama kali banjir lama. Jika sebelum ini, dua atau tiga hari air sudah surut, tapi kali ini sehingga tiga minggu.

"Tikar getah terpaksa diganti baru kerana sudah terendam. Apa - apa pun kami reda dengan ujian tuhan ini," kata Mohamad Salehuddin ketika mencuci rumah mentuanya di Lorong Mesra dekat sini, hari ini.

Daerah Hilir Perak adalah satu-satunya daerah di Perak yang terjejas banjir ketika ini setelah semua PPS di daerah lain ditutup.

Berdasarkan laporan harian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri Perak setakat jam 4 petang tadi, jumlah mangsa banjir yang direkodkan di Perak ialah 34 orang daripada tujuh keluarga dan kesemua mereka ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 6:45 PM