DEWAN SMK Abdul Rahman Talib dibuka semula hari ini bagi menempatkan mangsa banjir dari Lorong Mesra, Kampung Batu 7. FOTO Muhamad Lokman Khairi
DEWAN SMK Abdul Rahman Talib dibuka semula hari ini bagi menempatkan mangsa banjir dari Lorong Mesra, Kampung Batu 7. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Tidak sampai 24 jam pulang ke rumah selepas sebulan berada di pusat pemindahan sementara (PPS), penduduk Lorong Mesra, Kampung Batu 7, dekat sini, terpaksa berpindah semula ke PPS hari ini apabila rumah mereka dimasuki air banjir.

Mangsa, Rashidah Daghus, 35, berkata, dia sekeluarga baru saja dibenarkan pulang ke rumah pada tengah hari semalam, namun jam 2 pagi tadi rumahnya dinaiki air semula.

Ibu kepada enam anak itu berkata, hujan berterusan bermula jam 6 petang semalam menyebabkan air bah naik begitu laju.

"Air masuk ke rumah laju, kelam-kabut kami selamatkan kereta dan motosikal.

"Memang tak dapat nak tidur, jam 7 pagi tadi baru kami berpindah ke sini," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib dekat sini, hari ini.

Seorang lagi mangsa banjir, Ani Rosmadi, 42, berkata, dia sekeluarga sudah pun mencuci rumah mereka pada pagi semalam.

"Pagi semalam kami cuci rumah, petang sudah air masuk rumah. Mahu kata lelah pun saya tak tahu, sebab isu banjir ini setiap tahun.

"Barang-barang dalam rumah rosak tenggelam tidak apa, janji anak-anak selamat," kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Berdasarkan laporan harian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak setakat jam 4 petang tadi, jumlah mereka yang terjejas banjir adalah 75 mangsa daripada 18 keluarga membabitkan daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Hilir Perak.

Di daerah LMS, 46 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di Dewan Serbaguna Sungai Ara, Batu Kurau.

Hilir Perak pula merekodkan 29 mangsa daripada lima keluarga yang membabitkan pembukaan semula PPS di Dewan SMK Abdul Rahman Talib.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 6:12 PM