Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Penyandang kerusi Parlimen Kuala Selangor, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini kerana Barisan Nasional (BN) menurunkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, beliau yang sebelum ini berhasrat berundur dan memberi laluan kepada calon muka baharu atau muda kembali bertanding atas arahan Pakatan Harapan (PH) agar mempertahankan kerusi itu.

"Saya akan mempertahankan kerusi P096 Kuala Selangor setelah Umno dan Barisan Nasional (BN) tekad menurunkan Tengku Zafrul. Kerana pencabar saya seorang menteri, maka mantan menteri ini turun bertarung.

"Saya kira wajar untuk saya mentaati pimpinan parti dan juga syor dari pengundi-pengundi saya yang memohon supaya saya terus pertahan kerusi ini.

"Jadi, saya sangat teruja dan mereka mahukan lagi khidmat saya sejak 2008 lagi sehingga kini. Ini kelebihan yang tiada pada Tengku Zafrul," katanya.

Pada Mei lalu, Pengarah Strategi Amanah itu menyatakan hasrat mengundur diri dan memberi laluan kepada calon muka baharu atau muda untuk bertanding pada PRU-15.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pengenalan Calon-calon Parlimen Pakatan Harapan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, di sini malam tadi.

Dr Dzulkefly juga turut mengulas ketika ditanya kemampuan untuk mengekalkan kemenangan kerana pada PRU lalu beliau mengalahkan BN dan Pas dengan majoriti 8,498.

"Soalan itu masih dalam teka teki tetapi kami sudah buat penyelidikan yang memberi petunjuk positif dan persoalan besar adalah undi 18 ... inilah yang jadi penentu kerana penambahannya lebih 33,000 orang.

"Perkara ini perlu diberi perhatian, sementara pengundi asas saya masih lagi memberikan sokongan padu malah mereka tidak terkesan dengan pemberian Tengku Zafrul walaupun mereka terima semua itu.

"Insya-Allah..kita punya keyakinan. Kami yakin teruskan kekal kerusi ini dengan izin Allah dan sokongan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 8:45 AM