TENGKU Zafrul tiba bersama penyokong pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 parlimen P.096 Kuala Selangor. FOTO Asyraf Hamzah
TENGKU Zafrul tiba bersama penyokong pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 parlimen P.096 Kuala Selangor. FOTO Asyraf Hamzah
Raja Noraina Raja Rahim


Image

Kuala Selangor: Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersedia membantu Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tengku Zafrul, 49, berkata beliau mengharapkan sokongan dan doa daripada masyarakat untuk membantu beliau merealisasikan impian berkenaan.

"Seperti dijangkakan saya berdepan saingan empat penjuru dan Insya-Allah kita mengharapkan dan mendoakan supaya BN dapat merampas kembali kerusi Parlimen Kuala Selangor.

"Strategi utama kita adalah mendengar, menghayati dan menyelesaikan masalah dihadapi oleh masyarakat Kuala Selangor," katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon Parlimen Kuala Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini, hari ini.

Parlimen Kuala Selangor menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan Tengku Zafrul; penyandang kerusi itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH); Mohd Shaid Rosli (PEJUANG) dan Mohd Noor Mohd Sahar (PN-PAS).

Dr Dzulkefly memenangi kerusi itu pada PRU-14 dengan majoriti 8,498 undi menewaskan penyandang, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN) dan calon PAS, Fakaruddin Ismail.

Bagaimanapun pada 2013, beliau tewas di kerusi yang sama dengan majoriti tipis 460 undi menentang Irmohizam.

Dr Dzulkefly, 66, berkata beliau akan meneruskan tradisinya mendekati masyarakat dan mendengar setiap permasalahan mereka.

"Saya sentiasa bersama mereka (rakyat) ketika suka duka mereka. Inilah keunikan saya sebagai penyandang.

"Saya sudah menziarahi hampir setiap kawasan termasuk kampung dan taman perumahan. Walaupun saya tidak dapat menyantuni semua, tapi saya akan buat semampu boleh," katanya.

Selain itu, beliau juga tidak mahu melupakan pengundi muda dan pengundi kali pertama bagi melebarkan sokongan untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 12:41 PM