PELBAGAI agensi penyelamat menyertai sesi latihan pengendalian bahan radioaktif bersama dengan Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia).
PELBAGAI agensi penyelamat menyertai sesi latihan pengendalian bahan radioaktif bersama dengan Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia).
Samadi Ahmad


Putrajaya: Tidak hanya cekap mengendalikan kes kemalangan dan bencana, malah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut dilengkapi kemahiran mengendalikan situasi kecemasan membabitkan radiologi dan nuklear.

Terbaru sepasukan anggota APM serta agensi lain menyertai sesi latihan pengendalian bahan radioaktif bersama Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) dengan kerjasama Airport Fire and Rescue Service (AFRS) Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Latihan selama dua hari bermula kelmarin, membabitkan kursus kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan radiologi, nuklear serta insiden sekuriti nuklear.

Ia diadakan di Balai AFRS l, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTABPP).

Program ini merangkumi sesi perkongsian ilmu dan sesi praktikal kepada peserta dari pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Malaysia Airlines Berhad (MAB), dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Program ini juga mengeratkan persefahaman dan membantu agensi-agensi berkaitan merangka tatacara kerja lebih tersusun dan teratur sekiranya berlaku kecemasan radiologi dan nuklear.

Penolong Pengarah Sektor Operasi APM, Mejar (PA) Kamal Jakarinah, Pegawai Bahagian Operasi APM, Leftenan (PA) Samril Selasih dan pegawai APM Barat Daya, Leftenan M (PA) Muhammad Imran Razak turut hadir pada program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 9:11 AM