Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Selayang: Penderitaan seorang amah Indonesia yang didera selama enam bulan oleh majikannya berakhir selepas mangsa diselamatkan sepasukan polis menerusi Ops Pintas di sebuah rumah semi-D, di sini, semalam.

Serbuan jam 6.15 petang itu dijalankan Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran - Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan awal mendapati mangsa didera dan tidak dibayar gaji sepanjang bekerja di rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan dan serbuan berjaya membuat tangkapan seorang wanita tempatan yang juga majikan kepada mangsa.

"Pihak polis berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Indonesia berusia 24 tahun yang juga pembantu rumah yang dipercayai didera oleh suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

SOFFIAN.
SOFFIAN.

Menurutnya operasi dijalankan selaras dengan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI 2.0).

Soffian berkata, mangsa dipercayai sering dipukul menggunakan rotan, malah wanita itu juga kerap ditampar oleh suspek yang juga seorang akauntan.

Ia susulan penemuan kesan kecederaan dan kesan lebam baharu di tangan kiri dan di pipi kiri dipercayai akibat ditampar suspek berusia 39 tahun.

"Mangsa ditawarkan gaji RM1,400, namun tidak pernah menerima bayaran, malah pasport dan telefon bimbitnya dipegang oleh majikannya.

"Mangsa diselamatkan mengikut Seksyen 44(1) Akta Atipsom, manakala suspek ditahan di bawah Seksyen 12 akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 9:22 AM