GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengucapkan terima kasih kepada pengundi, jentera dan penyokong yang membantu beliau pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Bekas Menteri Kewangan itu yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya umum berkata, pengalaman bertanding dan berkempen pada PRU-15 adalah satu penghormatan kepadanya.

"Terima kasih kepada semua pengundi Kuala Selangor. Terima kasih juga kepada semua jentera dan penyokong BN.

"Satu penghormatan dapat mengenali dan bekerjasama dengan anda semua. You are the best!!! Insya-llah jika ada rezeki, kita jumpa lagi," katanya dalam catatan ringkas di Facebooknya, hari ini.

Tengku Zafrul tewas kepada penyandang kerusi Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang memperoleh majoriti 1,002 undi sekali gus membolehkan bekas Menteri Kesihatan itu mengekalkan penguasaannya di kerusi itu.

Bendahari Umno Selangor itu memperoleh 30,031 undi, ketinggalan 1,002 undi di belakang Dzulkefly (31,033 undi).

Calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Noor Mohd Sahar memperoleh 23,639 undi manakala calon Pejuang, Mohd Shaid Rosli ketinggalan dengan 1,778 undi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Dr Dzulkefly menang dengan majoriti 8,498 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 5:14 PM