FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilapor semakin stabil selepas langkah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menggiatkan operasi pemotongan paip haram di beberapa lokasi penempatan setinggan di Sepanggar, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, bagaimanapun berkata, pemantauan berterusan masih perlu dilaksanakan bagi memastikan masalah yang menjejaskan bekalan air di kampus universiti itu tidak berulang.

"Setakat ini agak stabil. Namun demikian pemantauan berterusan masih diambil," katanya ketika diminta mengulas perkembangan terbaharu isu bekalan air di kampus induk UMS itu.

Difahamkan, JANS membekal antara empat juta liter sehari (MLD) hingga tujuh MLD air terawat untuk kegunaan warga kampus UMS setiap hari, selain bekalan air berkapasiti satu MLD melalui telaga tiub di dalam kampusnya.

Minggu lalu, JANS meningkatkan pemantauan dan operasi pemotongan sambungan paip haram yang dipasang penghuni setinggan di beberapa kawasan sekitar Sepanggar, selain operasi terdahulu membabitkan sebanyak 679 sambungan paip haram dipotong di seluruh Kota Kinabalu antara Januari hingga Mei lalu.

Penyambungan haram yang sentiasa berulang itu dikenal pasti antara punca gangguan bekalan air dihadapi UMS dan kawasan sekitarnya berikutan jumlah air yang sampai melalui paip penghantaran berkurangan dengan banyak.

Ia antara isu air tidak berhasil (NRW) yang perlu diselesaikan JANS dalam usaha menstabilkan bekalan air, khususnya di kawasan utara bandar raya Kota Kinabalu, selain memastikan bayaran untuk air yang dibekalkan dapat dikutip.

Sebelum ini, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah menyatakan JANS berdepan masalah untuk mengekang penyambungan paip haram daripada berulang berikutan sikap pelakunya yang tidak serik mengulangi perbuatan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya situasi itu cuba diatasi dengan memasang beberapa tangki statik di kawasan setinggan yang dikenal pasti sebagai alternatif menyediakan bekalan air berbayar kepada penghuninya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 9:04 AM