Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Calon Barisan Nasional (BN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak terkesan dengan sentimen yang dimainkan pihak lawan mengatakan beliau 'calon kayangan' pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan sebaliknya berkata, beliau lebih memfokuskan kepada isu rakyat.

"Saya nak komen satu sahaja... bacalah Bajet 2021 dan 2022. Lihat apa kerajaan buat melalui Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan.

"Bacalah ucapan bajet untuk 2023 juga menunjukkan keprihatinan kita kepada rakyat," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia di One Plaza, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal.

PRU-15 kali ini menyaksikan Tengku Zafrul mencabar penyandang kerusi Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad daripada Parti Amanah Negara (AMANAH).

Turut bertanding adalah Mohd Shaid Rosli (GTA-PEJUANG) dan Mohd Noor Mohd Sahar (PN-PAS).

Untuk rekod, Dr Dzulkefly memenangi kerusi Parlimen P096 pada PRU-12, namun tewas kepada Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN) pada PRU-13.

Bagaimanapun, Dr Dzulkefly berjaya merampas kembali daripada Irmohizam pada PRU-14.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 5:47 PM
TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia Kuala Selangor 2022 di 1 Plaza, Kuala Selangor. FOTO FAIZ ANUAR
TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia Kuala Selangor 2022 di 1 Plaza, Kuala Selangor. FOTO FAIZ ANUAR