Raja Noraina Raja Rahim

Image

Kuala Selangor: Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berdepan saingan empat penjuru menentang penyandang Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tengku Zafrul, 49, kali pertama bertanding dalam pilihan raya sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Beliau dicabar penyandang, Dr Dzulkefly yang bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH), calon daripada Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Mohd Shaid Rosli dan Mohd Noor Mohd Sahar (PN-PAS).

Mengumumkan pencalonan mereka, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kuala Selangor Rahilah Rahmat berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima kesemua borang penamaan yang diserahkan sepanjang proses penamaan berlangsung.

"Saya menyemak kertas penamaan itu dan selepas selesai semakan, kami berpuas hati dan tiada calon ditolak kertas penamaannya.

"Calon pertama mengemukakan kertas penamaan adalah Mohd Shaid pada jam 9.05 pagi, manakala calon kedua Tengku Zafrul pada jam 9.09 pagi diikuti Mohd Noor pada jam 9.13 pagi dan Dr Dzulkefly pada jam 9.19 pagi," katanya ketika pengumuman calon Parlimen Kuala Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini.

Kira-kira 500 penyokong parti yang bertanding berkumpul di pekarangan stadium sejak jam 8 pagi.

Dr Dzulkefly memenangi kerusi itu pada PRU-14 dengan majoriti 8,498 undi sekaligus merampas semula kerusi yang pernah dimenanginya pada PRU-12.

Beliau tewas kepada Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN) pada PRU-13.

(DARI kiri) Mohd Noor (PN), Dr Dzulkefly (PH), Shaid Rosli (PEJUANG) dan Zafrul Tengku Abdul Aziz (BN) di umumkan secara rasmi di pusat penamaan calon Stadium Tertutup Kuala Selangor. FOTO Asyraf Hamzah
(DARI kiri) Mohd Noor (PN), Dr Dzulkefly (PH), Shaid Rosli (PEJUANG) dan Zafrul Tengku Abdul Aziz (BN) di umumkan secara rasmi di pusat penamaan calon Stadium Tertutup Kuala Selangor. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 11:40 AM