Pokok kelapa dipanah petir dalam kejadian disebuah kedai makan di Kampung Kampai. FOTO Ihsan Mohd Faizal
Pokok kelapa dipanah petir dalam kejadian disebuah kedai makan di Kampung Kampai. FOTO Ihsan Mohd Faizal
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Lima beranak termasuk empat pelanggan sebuah kedai makan bertempiaran lari menyelamatkan diri sejurus petir menyambar pokok kelapa berhampiran premis itu.

Dalam kejadian 8 malam tadi, percikan api pada pokok kelapa turut membakar kanvas digunakan di kedai makan

terletak di Kampung Kampai, Kuala Klawang di sini.

Mohd Faizal Abd Latif, 43, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam itu amat mengejutkan dia dan ahli keluarga serta pelanggan yang baru tiba untuk menjamu selera.

Katanya, pokok kelapa setinggi lebih lima meter berhampiran kedai makan itu tiba-tiba disambar petir hingga terbakar sebelum merebak ke kanvas kedai.

"Mujur ketika kejadian, anak dan isteri berada di bawah khemah lain. Pelanggan yang baru tiba untuk menjamu selera turut berlari masuk ke dalam kereta masing-masing.

"Dentuman petir itu amat kuat dan berlaku sekelip mata. Ketika itu hujan baru mahu bermula," katanya.

Ujarnya kanvas yang terbakar sempat dipadam manakala tiada kerosakan harta benda dalam kejadian itu.

Sementara itu sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Jelebu bergegas ke lokasi bagi memadamkan kebakaran pokok kelapa berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 8:32 AM