HAMZAH Zainudin. FOTO Arkib NSTP.
HAMZAH Zainudin. FOTO Arkib NSTP.
T.N.Alagesh


Rompin: Perikatan Nasional (PN) mengakui memberikan dana kepada calon parti itu ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Walau bagaimanapun, ia bukanlah dari syarikat judi seperti didakwa beberapa pihak.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata PN hanya memberikan RM50,000 kepada setiap calon yang bertanding di bawah gabungan itu.

"Mereka bimbang dengan apa yang berlaku ketika pilihan raya baru-baru ini oleh itu Anwar (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) mendakwa untuk kempen, PN menerima jutaan ringgit dana dari 'tauke judi'... masya-Allah,

"Ya, benar kami berikan dana. Saya Setiausaha Agung PN dan ada ramai calon di depan saya... Kami hanya memberikan RM50,000 untuk setiap calon.. jika saya ada duit dari kaki judi, saya rasa (PN) bukan saja menang 73 kerusi, 30 (kerusi) BN juga kita sapu habis.

"Tapi kerana kami tidak mempunyai wang yang mencukupi... sebab itulah kita tak dapat menang banyak," katanya dalam satu ceramah ketika berkempen untuk Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (Dun) Tioman di sini, malam tadi.

Semalam, Perdana Menteri membayangkan dana kempen pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas judi.

Sementara itu, Hamzah berkata, bahawa Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah Menteri Kewangan ketika kepimpinan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, keputusan berkaitan cabutan khas syarikat perjudian diputuskan oleh Menteri Kewangan dan Tengku Zafrul harus menjawabnya.

"Beliau (Anwar) berkata ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini terdapat 22 cabutan khas. Siapa Menteri Kewangan?.. Tengku Zafrul, anda kena tanya Tengku Zafrul.

"Hari ini (semalam) ketika mesyuarat kabinet diadakan dan beliau (Anwar) mengumumkan 22 cabutan khas dikurangkan kepada lapan, jadi apa maksudnya? Ini hanya menunjukkan Menteri Kewangan ada kuasa...dalam perkara berkenaan perjudian hanya Menteri Kewangan berkuasa dan anda perlu tanya Tengku Zafrul," katanya.

Semalam, Anwar mengumumkan kerajaan bersetuju mengurangkan kekerapan cabutan khas yang dinaikkan pentadbiran kerajaan sebelum ini daripada 22 kepada lapan kali setahun bermula tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 2:39 PM