PEMAIN Slovakia meraikan kejayaan mara ke peringkat kalah mati selepas tamat perlawanan menentang Romania.  FOTO AFP
PEMAIN Slovakia meraikan kejayaan mara ke peringkat kalah mati selepas tamat perlawanan menentang Romania. FOTO AFP
Agensi

Frankfurt: Pemain tengah Slovakia Ondrej Duda menegaskan pasukannya tidak gentar menentang England pada peringkat 16 terakhir di Euro 2024, Ahad ini.

England mara selepas seri 0-0 dengan Slovenia pada Rabu lalu. Walaupun mempamerkan prestasi hambar dalam Kumpulan C, Three Lions menduduki tangga teratas dengan lima mata.

Mereka akan menentang Slovakia di peringkat kalah mati selepas pasukan yang menduduki ranking ke-45 Fifa itu menduduki tangga ketiga Kumpulan E.

Walaupun Slovakia bukan pasukan pilihan dan tidak ramai berani meramalkan mereka mara lebih jauh, Duda menegaskan mereka tidak takut dengan skuad Gareth Southgate.

Bercakap kepada TV Markiza, dia berkata: "Pasukan Inggeris mempunyai kualiti tetapi setiap lawan yang mereka temui setakat ini mampu menewaskan England sebenarnya. Oleh itu, kami tak gentar kerana mereka tidak sekuat mana."

Duda menjaringkan gol antarabangsa ke-14nya ketika Slovakia seri 1-1 dengan juara kumpulan Romania semalam.

Keputusan itu bermakna semua pasukan dalam kumpulan terbabit memiliki empat mata dengan jumlah jaringan dan perbezaan gol menentukan kedudukan mereka.

Seorang lagi pemain tengah Slovakia Stanislav Lobotka turut menyuarakan keyakinannya dengan kemampuan pasukan.

"Layak ke peringkat 16 memang menakjubkan," kata Lobotka. "Kami berjaya melakukannya dan saya gembira dengan cara kami beraksi. Kami tidak akan terhenti di situ dan akan cuba mara lebih jauh."

Kejayaan mara ke peringkat kalah mati hanyalah yang kedua dalam sejarah negara itu yang dibentuk pada 1992 selepas berpisah dengan Czechoslovakia.

Slovakia akan menentang England dalam aksi pusingan 16 terakhir Euro 2024 Arena AufSchalke, Gelsenkirchen, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 8:58 AM