KEADAAN motosikal ditunggangi mangsa selepas terbabit kemalangan di KM  209.9 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara). FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN motosikal ditunggangi mangsa selepas terbabit kemalangan di KM 209.9 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara). FOTO Ihsan PDRM
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Konvoi sekumpulan penunggang motosikal berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 202.9 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, Muhammad Nasrul Adnan, 18, meninggal dunia di serta merta selepas terjatuh ketika melanggar belakang pacuan empat roda jenis Pajero dan digilis kereta.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal Yamaha Y15 sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas konvoi bersama 12 rakan di Melaka.

"Motosikal mangsa melanggar belakang pacuan empat roda yang berada di lorong kiri dan menyebabkan dia terjatuh sebelum dilanggar Perodua Bezza dipandu lelaki 29 tahun dari belakang.

"Pemandu kereta yang juga pekerja kilang itu dalam perjalanan dari Jasin menuju Alor Gajah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Arshad berkata, mangsa berasal dari Kampung Kemensah, Ulu Kelang, Selangor parah di kepala dan badan, dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 1:01 PM