KEADAAN pacuan empat roda mangsa yang remuk. IHSAN PDRM
KEADAAN pacuan empat roda mangsa yang remuk. IHSAN PDRM
Nuraliawati Sabri

Alor Gajah: Seorang pemandu pacuan empat roda maut tersepit sejurus kenderaan dipandunya terbabit kemalangan di Kilometer 221.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini.

Kejadian kira- kira jam 1.30 pagi semalam, mengakibatkan mangsa, M Mahendran, 50, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah kren tunda, pacuan empat roda dan treler.

Beliau berkata, kenderaan dipandu mangsa dan kren tunda dalam perjalanan dari Klang, Selangor menuju ke Johor manakala treler pula dari Padang Besar, Perlis menghala ke Singapura.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler itu melanggar belakang kenderaan mangsa yang berada di belakang kren tunda.

"Akibat daripada perlanggaran itu, pacuan empat roda berkenaan kemudian merempuh belakang kren tunda," katanya.

Beliau berkata, pemandu kren tunda dan treler bagaimanapun tidak mengalami kecederaan selain mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.

"Kesemua kenderaan kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi tindakan lanjut.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 6:23 PM