Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Alor Gajah: Seorang pelancong wanita maut manakala empat cedera termasuk dua daripadanya melecur 80 dan 50 peratus selepas bas ekspres dinaiki terbakar dalam kemalangan di Kilometer 198, Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara), awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 3.50 pagi dan bas jenis Scania itu membawa 28 penumpang itu dari Singapura menuju ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4 pagi mengenai kemalangan bas dan sebuah motosikal dan sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi untuk melakukan siasatan.

"Siasatan awal mendapati sebelum kemalangan, dipercayai sebuah motosikal ditunggangi lelaki berusia 21 tahun terbabas sendiri di lokasi dan jatuh di lorong paling kiri.

"Namun, penunggangnya sempat bangun mengelak ke kiri jalan dan tidak lama kemudian datang bas melanggar motosikal terbabit dan menyeretnya hingga terbakar," katanya dalam kenyataan di sini.

Arshad berkata, pelanggaran itu menyebabkan lima penumpang termasuk tiga orang yang duduk di bahagian belakang terperangkap dan mengalami kecederaan badan terbakar dan melecur.

Katanya, seorang daripada mangsa, Yafarah Taj Fakrudin Hussaini berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Alor Gajah akibat badan terbakar.

"Mangsa, Peer Mohamed Kannudeen,69, mengalami badan terbakar 80 peratus dan Anissa Begum Fakrudin Hussaini,45, (badan terbakar 50 peratus) serta tidak sedarkan diri, manakala dua lagi cedera ringan, iaitu Mohideenmeraal Beermohamed,68, dan Tasmiyah Taj,19.

"Kelima-lima mangsa adalah satu keluarga dengan Tasmiyah adalah warga Singapura dan yang lain warga India," katanya.

Anggota bomba dan polis melakukan siasatan di lokasi kemalangan bas di Kilometer 198, Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara), awal pagi tadi. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Anggota bomba dan polis melakukan siasatan di lokasi kemalangan bas di Kilometer 198, Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara), awal pagi tadi. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.

Beliau berkata, 23 orang penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan termasuk pemandu dan pemandu kedua berusia 24 dan 46 tahun.

"Mayat si mati dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II, Zahrul Azha Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan awam berhubung kemalangan itu pada jam 3.55 pagi dan seramai 21 anggota terbabit dalam operasi pemadaman.

Beliau berkata, setibanya di lokasi pada jam 4.07 pagi didapati benar berlaku kebakaran bas yang melanggar sebuah motosikal yang terbabit kemalangan awal, sebelum terbakar 100 peratus.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menggunakan semburan air dari lori tangki berkapasiti 20,000 liter bagi memadamkan kebakaran dan api berjaya dikawal dalam masa 18 minit," katanya.

Beliau berkata, sejurus selesai pemadaman pada jam pihaknya bertindak melakukan pencarian di sepanjang laluan lebuh raya sejauh 150 meter dan tiada mangsa lain ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 11:04 AM