Lokasi kemalangan maut membabitkan penoreh getah di Jalan Garing, berhampiran simpang ke UTeM, Durian Tunggal, Alor Gajah. FOTO IHSAN PDRM
Lokasi kemalangan maut membabitkan penoreh getah di Jalan Garing, berhampiran simpang ke UTeM, Durian Tunggal, Alor Gajah. FOTO IHSAN PDRM
Hassan Omar


SEORANG penoreh getah maut manakala isterinya cedera sejurus motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Garing, berhampiran simpang ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Melaka.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi tadi, mangsa, S Balakrishnan, 57, terbunuh manakala isterinya K Komalar, 50, cedera selepas motosikal berkenaan bertembung dengan kereta dipandu lelaki berusia 42 tahun.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan untuk menoreh getah.

"Mangsa dipercayai membelok untuk menuju ke kebun getah sebelum bertembung dengan kereta berkenaan.

"Penunggang motosikal itu mati di lokasi kejadian akibat parah di kepala manakala isterinya yang cedera dibawa ke Hospital Alor Gajah," katanya.

Kedua-dua kenderaan itu dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan dan polis meminta individu yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 5:11 PM