PROTON Wira Aeroback dikesan polis kerana pemandunya melarikan selepas melanggar seorang pegawai imigresen hingga maut. FOTO ihsan PDRM
PROTON Wira Aeroback dikesan polis kerana pemandunya melarikan selepas melanggar seorang pegawai imigresen hingga maut. FOTO ihsan PDRM
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Polis sedang mengesan pemandu Proton Wira Aeroback yang dipercayai terbabit kejadian langgar lari sehingga menyebabkan kematian seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara Selatan dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pemandu kereta itu dipercayai melarikan diri daripada lokasi kejadian.

Menurutnya, kenderaan berwarna perak dengan nombor pendaftaran TAC 5688 itu berjaya dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gurun.

"Setakat ini, pemandunya belum tampil membuat laporan polis berhubung kemalangan itu dan kita sedang meneliti serta menyemak nombor pendaftaran kereta untuk mengetahui sama ada pemiliknya sendiri yang memandu atau individu lain menggunakan kenderaan itu ketika kejadian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pemandu dan kenderaan itu diminta menghubungi Inspektor Juzaili Ismail di talian 019-5586668 atau Pejabat Pertanyaan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuala Muda di talian 04-4232222 untuk membantu siasatan," katanya.

Dalam kejadian 9.30 pagi semalam, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Muhammad Nizam Shamsudin, 46, meninggal dunia, manakala Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen Zaili Nizam Muhammad, 43, patah kaki kanan dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 12:29 PM