Nur Holis, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini. FOTO IZAD THAQIF HASSAN
Nur Holis, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini. FOTO IZAD THAQIF HASSAN
Oleh Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Buruh warga Indonesia mengaku tidak bersalah Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian pegawai imigresen, Ahad lalu.

Nur Holis, 27, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret M Kalaiarasi.

Mengikut pertuduhan, Nur Holis didakwa memandu kereta Proton Wira Aeroback secara bahaya sehingga menyebabkan kematian Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Muhammad Nizam Samsudin, 46, pada pada 4 September 2022, jam 9.30 pagi di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda minimum sebanyak RM20,000 dan maksimum sebanyak RM50,000.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Preeyaa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin dan menyerahkan pasport antarabangsanya.

Mahkamah turut menetapkan 28 September depan bagi tarikh serahan dokumen.

Dalam kejadian langgar lari itu, Muhammad Nizam meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang dirempuh Proton Wira Aeroback dipandu tertuduh.

Kejadian turut menyebabkan rakan mangsa, Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen Zaili Nizam Muhammad, 43, patah kaki kanan kerana tidak sempat mengelak motosikal rakannya yang jatuh di lorong kecemasan selepas dirempuh tertuduh.

Kedua-dua pegawai yang bertugas di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang itu menunggang motosikal berkuasa tinggi dan dikatakan dalam perjalanan ke Gurun.

Suspek yang mendakwa takut dipukul serta tidak mempunyai lesen memandu melarikan diri namun kereta dipandunya berjaya dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gurun.

Pemandu Proton Wira Aeroback bernombor pendaftaran TAC5688 itu kemudian ditahan 6.30 petang sehari selepas kejadian sebaik dia menyerah diri di Pejabat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 4:02 PM