PEMANDU Proton Wira Aeroback (berbaju kelabu)dibawa ke mahkamah untuk direman. FOTO Izad Thaqif Hassan
PEMANDU Proton Wira Aeroback (berbaju kelabu)dibawa ke mahkamah untuk direman. FOTO Izad Thaqif Hassan
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Pemandu Proton Wira Aeroback yang dipercayai terbabit dalam kejadian langgar lari hingga mengorbankan nyawa seorang pegawai Jabatan Imigresen di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara kelmarin, direman empat hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap suspek yang juga lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun itu dikeluarkan Majistret Nor Fazlina Musa selepas mendapat permohonan polis.

Terdahulu, suspek yang bergari dilihat tiba di mahkamah pada 9 pagi dengan diiringi polis sebelum proses permohonan reman terhadapnya selesai kira-kira sejam kemudian.

Dalam kejadian 9.30 pagi kelmarin, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta sehingga dia terbabas ke lorong kecemasan .

Rakannya, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Zaili Nizam Muhammad, 43, yang tidak sempat mengelak merempuh motosikal Muhammad Nizam menyebabkan dia patah kaki kanan.

Susulan daripada itu, polis berjaya mengesan Proton Wira Aeroback bernombor pendaftaran TAC 5688 melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gurun.

Siasatan lanjut mendapati, pemandu kenderaan berwarna perak yang berjaya dirakam CCTV itu melarikan diri selepas terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan nyawa Muhammad Nizam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek ditahan polis selepas dia tampil menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada 6.30 petang semalam.

Menurutnya, hasil siasatan awal suspek mendakwa dia terpaksa melarikan diri kerana bimbang dipukul selain tidak memiliki lesen memandu sah.

"Suspek yang takut selepas terbabit dalam kemalangan itu terus memecut kenderaan dipandunya dan pulang ke rumah di Pokok Sena.

"Semakan nombor pendaftaran kenderaan pula mendapati kereta dipandu suspek adalah milik abang iparnya yang berada di Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi.

Zaidy berkata, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 10:30 AM