KEADAAN motosikal mangsa kemalangan. (Gambar kecil) Allahyarham Muhammad Nizam Samsudin. FOTO Ihsan JIM
KEADAAN motosikal mangsa kemalangan. (Gambar kecil) Allahyarham Muhammad Nizam Samsudin. FOTO Ihsan JIM
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) maut manakala rakan setugas patah kaki kanan selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang masing-masing terbabit dalam kemalangan di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala Utara, hari ini.

Dalam kejadian pada 9.30 pagi itu, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala manakala Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Zaili Nizam Muhammad, 43, sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata siasatan awal mendapati dua lelaki berkenaan menunggang motosikal masing-masing iaitu Kawasaki KLE650-C dan mereka dalam perjalanan menghala ke utara.

"Bagaimanapun, sebuah kereta yang datang dari arah sama merempuh motosikal ditunggang si mati menyebabkan ia hilang kawalan dan terbabas di lorong kecemasan.

"Pada masa sama, rakannya yang berada di belakang serta menunggang di lorong kecemasan tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal si mati," katanya.

Menurutnya, mangsa yang dirempuh kereta meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala seorang lagi penunggang patah kaki kanan dan sedang menjalani ujian X-ray di kepala.

"Hasil siasatan dan pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua penunggang motosikal berkenaan bertugas sebagai pegawai imigresen di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang.

"Kita juga sedang mengesan pemilik kereta yang didakwa menyebabkan berlakunya kemalangan itu dan siasatan awal mendapati pemandunya dipercayai melarikan diri," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian terbabit diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 4:30 PM