GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyeru lebih ramai golongan bekerja sendiri untuk mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sekali gus mengambil manfaat subsidi 80 peratus yang ditanggung kerajaan sehingga esok (31 Disember 2022).

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin berkata, SKSPS diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Katanya, kerajaan akan menanggung bayaran caruman SKSPS sebanyak 80 peratus bagi pelbagai kumpulan sasar orang bekerja sendiri (OBS) seperti penghantar makanan, petani, nelayan, penjaja dan lain-lain.

"Kerajaan juga sudah memperkenalkan inisiatif SPS Padanan Caruman dalam Bajet 2022 dengan peruntukan RM150 juta bertujuan memperluas perlindungan keselamatan sosial bagi mereka yang bekerja sendiri dalam sektor informal.

"Sehingga 21 Disember, terdapat seramai 685,784 pencarum di bawah SKSPS yang kebanyakannya dalam sektor pengangkutan dan e-hailing.

"Menurut jabatan perangkaan, kira-kira 2.3 juta OBS direkodkan setakat ini, dan hanya 30 peratus mengambil peluang mencarum SKSPS dan menikmati subsidi 80 peratus kerajaan.

"Oleh itu, Perkeso menyeru mereka yang bekerja sendiri termasuk golongan petani, nelayan dan pelbagai lagi yang masih belum mendaftar dan mencarum di bawah SKSPS supaya segera berbuat demikian demi perlindungan diri dan keluarga sekiranya ditimpa musibah yang tidak diduga," katanya.

Menurutnya, sehingga 1 November 2022, sejumlah RM10.8 juta sudah dibayar kepada 3,965 orang penerima faedah di bawah SKSPS.

SKSPS terbuka kepada warganegara Malaysia atau pemastautin tetap tanpa mengira had umur dan individu yang menjalankan pekerjaan sendiri.

Mulai 1 Januari 2020, perlindungan SKSPS sudah diperluas kepada 19 sektor pekerjaan sendiri, antaranya pengangkutan barangan atau makanan, pertanian, penternakan, perhutanan, perikanan, makanan, pembuatan, pembinaan, penjaja dan premis penginapan.

Perniagaan dalam talian, teknologi maklumat, pemprosesan data, ejen, perkhidmatan profesional, perkhidmatan sokongan, kesenian, perkhidmatan isi rumah, penjagaan perawatan dan pemulihan kesihatan.

Faedah diberikan menerusi SKSPS juga termasuk faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, orang tanggungan, elaun layan sentiasa, pengurusan jenazah, kemudahan pemulihan jasmani/vokasional dan faedah pendidikan.

Pendaftaran dan caruman boleh dibuat menerusi Portal Matrix Perkeso atau di mana-mana 54 pejabat Perkeso di seluruh negara, atau layari www.perkeso.gov.my, atau hubungi talian Careline Perkeso 1-300-22-8000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 3:40 PM