SLOVENIA masih boleh dipuji selepas mengheret Portugal sehingga ke penalti. FOTO Reuters
SLOVENIA masih boleh dipuji selepas mengheret Portugal sehingga ke penalti. FOTO Reuters
Reuters

Frankfurt: Slovenia mungkin mengalami penyingkiran yang menyayat hati daripada Euro 2024 dalam kekalahan 0-3 penentuan penalti kepada Portugal pada pusingan 16 terakhir.

Bagaimanapun, pengurus mereka Matjaz Kek berbangga selepas pemainnya mencipta budaya yang akan membantu pembinaan pasukan kebangsaan untuk masa depan.

Tiga sepakan penalti Slovenia diselamatkan oleh penjaga gol, Diogo Costa, sekali gus menamatkan perjalanan mereka di kejohanan itu selepas berjaya bertahan dengan cemerlang untuk mengikat Portugal 0-0 sehingga masa tambahan.

"Sudah tentu, mereka sedih hari ini, dan ini mengesahkan pandangan saya," kata Kek.

"Adalah menyedihkan untuk bercakap bagaimana mereka adalah wira dan sebagainya.

"Tidak, mereka adalah pemain yang mencipta budaya pasukan kebangsaan yang kami hilangkan di Slovenia.

"Saya adalah watak terkecil dalam pasukan ini. Anda tidak tahu betapa istimewanya untuk mengetuai pasukan kebangsaan seperti itu dan kami boleh bermain pasukan terbesar di Eropah dan dunia."

Penyerang, Benjamin Sesko mempunyai dua peluang menjaringkan gol satu lawan satu dalam 90 minit pertama, yang pertama tersasar keluar dan yang kedua diselamatkan oleh Costa.

Slovenia, yang berada 51 tempat di bawah Portugal dalam ranking dunia, tergagap-gagap dalam penentuan sepakan penalti dengan Costa menyelamatkan sepakan penalti daripada Josip Ilicic, Jure Balkovec dan Benjamin Verbic.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 8:32 AM