Mohd Amin Jalil


Seremban: Kira-kira 10,000 individu bekerja sendiri dari pelbagai sektor ekonomi dan perkhidmatan di Negeri Sembilan dikesan belum menyertai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan Fuad Alias berkata, perangkaan itu berdasarkan kajian pihaknya dan maklumat Jabatan Tenaga Kerja (JTK)

negeri.

Katanya, sehingga 5 Februari lalu, 12,414 individu sudah menyertai SKSPS dengan sektor pengangkutan penumpang merekodkan bilangan tertinggi iaitu 8,155 diikuti perkhidmatan sokongan 1,637 dan pengangkutan barangan serta makanan 641 individu.

"Kita dapati masih ramai lagi kalangan bekerja sendiri yang belum mendaftar dan mencarum dalam SKSPS ini.

"Kita berharap mereka yang berkenaan menyahut saranan kerajaan kerana caruman dalam SKSPS ini penting sebagai suatu perlindungan apabila berlaku sesuatu kemalangan atau kecelakaan kepada pencarum, ia tidak akan menyusahkan orang lain terutama ahli keluarga," katanya.

Beliau ditemui selepas menjayakan program Libaturus SPS Lindung Perkeso Negeri Sembilan bagi sektor pengangkutan dan makanan di Dataran Senawang, di sini, hari ini.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Sembilan, Fuad Alias (tengah) beramah mesra dan menerangkan skim perlindungan keselamatan dengan riders yang menyertai SKSPS di Dataran Senawang. FOTO MOHD AMIN JALIL
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Sembilan, Fuad Alias (tengah) beramah mesra dan menerangkan skim perlindungan keselamatan dengan riders yang menyertai SKSPS di Dataran Senawang. FOTO MOHD AMIN JALIL

Mengulas mengenai penyertaan penghantar makanan atau barangan dalam skim itu, Fuad berkata, setakat ini hanya 641 individu (OBS) sudah menyertai skim terbabit.

Beliau berkata, pihaknya menyasar sekurang-kurangnya 4,000 OBS berkenaan menyertainya sepanjang tahun ini.

"Selain mendapat pembiayaan bayaran penuh caruman SKSPS hasil bantuan kerajaan, mereka yang menyertai skim ini bakal memperoleh pelbagai manfaat termasuk faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat dan pelbagai lagi.

"Saya menyeru kepada setiap individu bekerja sebagai penghantar makanan atau barangan menggunakan motosikal, supaya menyertai skim ini sebagai perlindungan keselamatan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan memperuntukkan RM24 juta bagi membiayai caruman penuh pekerja khidmat penghantaran di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Perkeso.

Ia sebagai inisiatif kerajaan menghargai sumbangan penghantar barang yang menjadi barisan sokongan penghantaran barangan dan makanan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 2:51 PM