MOHAMMED AZMAN AZIZ MOHAMMED
MOHAMMED AZMAN AZIZ MOHAMMED
Suliati Asri


PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) memperluaskan lagi Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS) kepada 19 sektor tidak formal selain daripada sektor pengangkutan penumpang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Sektor itu merangkumi pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan, pertanian, penternakan dan pengeluaran ternakan, pengambilan hasil hutan, perikanan, penyediaan dan penjualan makanan, menjaja atau berniaga, aktiviti pengilangan produk, premis penginapan dan kerja pembinaan.

Selain itu, perniagaan dalam talian, teknologi maklumat, pengumpulan dan pemprosesan data dan perkhidmatan ejen, profesional, saintifik dan teknikal, perkhidmatan sokongan persendirian, aktiviti persembahan, perfileman, karya seni dan grafik, perkhidmatan isi rumah, perkhidmatan penjagaan, perawatan dan pemuliharaan kesihatan mental, fizikal atau sosial juga layak mencarum di bawah skim ini.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, untuk mendapatkan perlindungan di bawah SKSPS ini, orang bekerja sendiri (OBS) wajib mendaftar dan mencarum dengan Perkeso.

Justeru, pihaknya menyeru warganegara Malaysia serta pemastautin tetap mencarum demi perlindungan terhadap kemalangan atau pesakit berkaitan pekerjaan menerusi terdapat empat pelan caruman yang ditawarkan kepada OBS.

“Menerusi skim ini, pencarum boleh memilih untuk membuat pembayaran bulanan serendah RM13.10 hingga RM49.40 atau RM157.20 hingga RM592.80 setahun dengan pendapatan bulanan pilihan yang diinsuranskan pada kadar RM1,050, RM1,550, RM2,950 dan RM3,950.

“Jumlah caruman ini tidaklah membebankan kerana mereka boleh mendapat faedah yang memberikan manfaat kepada pencarum terutama jika berlaku sebarang kemalangan, kesinambungan pendapatan itu sentiasa ada kepada keluarga mereka,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Dengan caruman itu juga, OBS turut ditawarkan dengan pelbagai faedah termasuklah faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, orang tanggungan, pengurusan mayat, pendidikan, elaun layanan sentiasa dan kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional.

Menurut Mohammed Azman, selain caruman yang tidak membebankan, proses pendaftaran juga sangat mudah selain kaedah pembayaran caruman yang boleh dilakukan secara dalam talian.

“Bagi OBS yang ingin mencarum di bawah skim ini, dokumen yang diperlukan hanyalah kad pengenalan dan bukti menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri bergantung kepada jenis pekerjaan yang dilakukan seperti lesen perniagaan, permit, kad keahlian atau pengesahan dari persatuan atau ketua masyarakat, perakuan pendaftaran perniagaan dan sebagainya.

“Cara pembayaran juga cukup mudah kerana ia boleh dilakukan secara dalam talian di https://matrix.perkeso.gov.my atau bayaran secara tunai di mana-mana pejabat Perkeso,” katanya.

Setakat semalam kata Mohammed Azman seramai 48,000 individu mencarum di bawah skim itu bagaimanapun jumlah itu masih sedikit jika dibandingkan dengan keseluruhan individu bekerja sendiri di negara ini iaitu sekitar 2.83 juta orang.

“Jika dilihat kepada jumpa pencarum itu, masih ramai lagi tidak mencarum. Jadi, kami akan berusaha memberikan kesedaran lebih luas mengenai kepentingan skim perlindungan ini kerana setiap rakyat Malaysia kena ada standard minimum perlindungan, sekali gus mencapai sasaran 100 peratus OBS menjadi pencarum.

“Kita juga akan bekerjasama dengan media dari segi pengiklanan dan melakukan jelajah ke setiap zon dalam bulan ini untuk untuk bertemu masyarakat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bantu penjaja.

“Bila kita perkenalkan skim ini, mungkin mereka tidak ambil serius. Dengan usaha yang dijalankan ini saya berharap, masyarakat terutama yang bekerja sendiri jangan anggap ia sebagai beban, tetapi melihat caruman itu sebagai perlindungan yang akan menjadi kesinambungan pendapatan di masa hadapan khususnya kepada keluarga jika berlaku sebarang kemalangan kerana malang itu tidak berbau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 6:02 AM