JOHN Riba menyampaikan sumbangan kepada Salina di Kota Warisan, Sepang. - Gambar NSTP/AIZUDDIN SAAD
JOHN Riba menyampaikan sumbangan kepada Salina di Kota Warisan, Sepang. - Gambar NSTP/AIZUDDIN SAAD
Sri Ayu Kartika Amri

Sepang - Berkat kesedaran seorang petani yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) pada saat akhir ternyata memberi manfaat kepada waris yang ditinggalkan.

Pencarum, Allahyarham Ramlidin Ahkemat, 50 yang mencarum dengan SKSPS di bawah SPS Tani, satu inisiatif Program SPS Padanan Caruman meninggal dunia pada 9 Disember lalu akibat disengat tebuan semasa melakukan kerja harian di kebunnya.

Peristiwa malang yang menimpa Allahyarham menarik perhatian Perkeso yang kemudiannya mendapati bahawa beliau dilindungi di bawah Pelan 2 SKSPS, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) walaupun baru seminggu (2 Disember 2022) mencarum dengan SKSPS di bawah SPS Tani.

Sewaktu kejadian, Allahyarham sedang bekerja di kebunnya di bawah projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Sebagai peserta projek TKPM, Allahyarham menyewa daripada Kerajaan Negeri Selangor dengan mengusahakan tanaman pisang, keledek, ubi kayu, kunyit dan kelapa.

Beliau menerima bantuan dan bimbingan daripada Jabatan Pertanian yang bermatlamat untuk meningkatkan produktiviti, memperbaiki pemasaran hasil ladang, dan seterusnya meningkatkan pendapatan peserta TKPM.

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin berkata, caruman Allahyarham melayakkan balu beliau, Salina Mat Ali, 48 dan ketiga-tiga anak beliau yang berusia bawah 21 tahun (Muhammad Adam Rifqy, 14, Muhammad Aakif Rusyda , 12 dan Nur Arissa Rihana, 10) menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang berjumlah RM1,395 sebulan.

Katanya, bayaran FPM dibayar sekali manakala bayaran FOT adalah setiap bulan, bermula 1 Januari 2023. Salina akan menerima bayaran FOT seumur hidup walaupun beliau berkahwin semula, sementara anak-anak sehingga mereka mencapai usia 21 tahun atau berkahwin atau tamat pengajian Ijazah Pertama.

"Perkeso menyeru mereka yang bekerja sendiri termasuk golongan petani yang masih belum mendaftar dan mencarum di bawah SKSPS supaya segera berbuat demikian demi perlindungan diri dan keluarga sekiranya ditimpa musibah yang tidak diduga.

"Kerajaan juga sudah memperkenalkan inisiatif SPS Padanan Caruman dalam Bajet 2022 yang bertujuan untuk memperluaskan perlindungan keselamatan sosial bagi mereka yang bekerja sendiri dalam sektor informal yang disasarkan dengan caruman disubsidi kerajaan sehingga 80 peratus, sehingga 31 Disember 2022.

"Menerusi SPS Tani, petani atau pengusaha ladang dan tanaman hanya membayar 20 peratus daripada jumlah caruman Pelan 2 SKSPS iaitu RM46.60 untuk perlindungan setahun manakala kerajaan membiayai selebihnya, sebanyak RM186.20 (80 peratus).

"Manfaat FPM dan FOT di bawah SKSPS adalah faedah yang dibayar kepada orang tanggungan sekiranya pencarum yang bekerja sendiri meninggal dunia akibat bencana berkaitan pekerjaan sendiri.

"Sehingga 1 November 2022, sejumlah RM10.8 juta sudah dibayar kepada 3,965 orang penerima faedah di bawah SKSPS.

"Sememangnya malang tidak berbau. Justeru, carumlah segera sebelum tarikh tutup SPS Padanan Caruman berakhir pada 31 Disember 2022 ini," katanya yang ditemui di majlis penyerahan faedah Perkeso kepada balu Allahyarham Ramlidin dan anak-anak di kediaman waris di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis Perbandaran Sepang, Chendren Balakrishnan, Pegawai Jabatan Pertanian Putrajaya, Hayusri Faizal Idris, Pengarah Perkeso Selangor, Ismail Abi Hashim dan Pengurus Perkeso Putrajaya, Thavamani Ramalingam.

John berkata, sehingga 21 Disember, terdapat seramai 685,784 pencarum di bawah SKSPS yang kebanyakannya dalam sektor pengangkutan dan e-hailing.

Menurutnya, daripada 2.3 juta rakyat yang bekerja sendiri, hanya 30 peratus mengambil peluang mencarum SKSPS dan menikmati subsidi 80 peratus kerajaan.

SPS Padanan Caruman terbuka kepada kategori SPS Gig, SPS Penjaja, SPS Lancong, SPS Lain Upaya, SPS Tani, SPS Seni dan SPS Usahawanita.

Pendaftaran dan caruman boleh dibuat menerusi Portal Matrix Perkeso atau di mana-mana 54 pejabat Perkeso di seluruh negara.

Layari www.perkeso.gov.my atau hubungi talian Careline Perkeso 1-300-22-8000 untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 12:44 PM