ABDUL Rahman (tengah) pada Majlis Perasmian Fiesta Perkeso Membawa Senyuman. Turut hadir, Subahan (kanan) dan Mohammed Azman. FOTO Rohanis Shukri
ABDUL Rahman (tengah) pada Majlis Perasmian Fiesta Perkeso Membawa Senyuman. Turut hadir, Subahan (kanan) dan Mohammed Azman. FOTO Rohanis Shukri
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 391 individu termasuk penggiat seni mencarum Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada Fiesta Perkeso Membawa Senyuman, hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, daripada jumlah itu seramai 200 individu bekerja sendiri terdiri daripada jurulatih kesihatan dan penggiat seni mendaftar SKSPS.

"Manakala 191 wanita meliputi 91 pembayar zakat, 50 pekerja restoran serta 50 suri rumah B40 mencarum SKSSR menerusi inisiatif caruman oleh Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP), Nasi Kandar Ekspress dan Restoran Ali Maju Sdn Bhd.

"Justeru, individu bekerja sendiri wajar merebut peluang peruntukan RM100 juta disediakan kerajaan melalui Geran Padanan Caruman SKSPS dalam Belanjawan 2024 yang berupaya memanfaatkan 500,000 individu bekerja sendiri dengan insentif caruman ditanggung kerajaan sebanyak 90 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Fiesta Perkeso Membawa Senyuman di pusat beli-belah MyTown, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Abdul Rahman berkata, pihaknya menyasarkan 1,000 pencarum baharu dalam program yang dianjurkan selama dua hari.

"Untuk makluman, bagi caruman SKSSR sejak ia dilancarkan pada Disember 2022 sehingga tahun lalu, seramai 205,747 wanita sudah mencarum, dengan 170,937 adalah tajaan caruman oleh kerajaan melalui daftar e-kasih.

"Manakala 34,810 lagi adalah pencarum sukarela. Kita berharap agar sasaran 500,000 pencarum SKSSR dapat direalisasikan tahun ini," katanya.

Terdahulu, Fiesta Perkeso Membawa Senyuman adalah kesinambungan kepada program penjenamaan Perkeso 2024 sebagai anjakan paradigma agensi dalam menyantuni masyarakat lebih dekat dengan menyediakan perlindungan keselamatan sosial komprehensif serta holistik kepada segenap lapisan masyarakat.

Orang ramai dijemput hadir untuk menyertai Fiesta Perkeso Membawa Senyuman yang berlangsung sejak semalam hingga esok, di pusat beli-belah MyTOWN dengan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik disajikan.

Antaranya kaunter perkhidmatan pelanggan Perkeso, kaunter bimbingan kerjaya MYFutureJobs, forum kemandirian wanita, audio siar berkaitan kerjaya saringan kesihatan percuma, terapi laser dan robotik percuma, gerai jualan, promosi gunting rambut RM1, zumba dan cabutan bertuah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 5:20 PM