AHMAD Suzaime (duduk tengah) dan Jaafar (duduk kanan) bersama sebahagian ahli PUKK yang hadir dalam
AHMAD Suzaime (duduk tengah) dan Jaafar (duduk kanan) bersama sebahagian ahli PUKK yang hadir dalam
Adnan Ibrahim

SERAMAI 91 ahli Persatuan Usahawawasan Kecil Kluang (PUKK) menjadi kumpulan pertama di daerah ini menyertai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Skim di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu diwujudkan mengikut Peruntukkan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 membabitkan 19 sektor pekerjaan termasuk peniaga pasar malam, pasar tani dan peniaga atas talian.

Pengurus Pejabat PERKESO Kluang, Ahmad Suzaime Abdul Aziz berkata, semua ahli PUKK yang mencarum melalui SKSPS terdiri peniaga pasar malam, pasar tani, gerai tepi jalan serta peniaga atas talian.

Katanya, pencaruman SKSPS penting untuk masa hadapan keluarga sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada pencarum.

“Pihak kami akan berusaha untuk menyebar luaskan lagi maklumat caruman berkaitan SKSPS ini melalui taklimat awam selain majlis-majlis anjuran badan bukan kerajaan (NGO) supaya lebih ramai mereka yang bekerja sendiri mencarum.

“Peluang ini tidak seharusnya dilepaskan kerana walaupun mencarum dengan caruman yang rendah, ia membolehkan pencarum menerima manfaat yang tinggi,” katanya.

Ahmad Suzaime berkata demikian dalam program taklimat Libat Urus Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di Pejabat PERKESO Kluang hari ini.

Hadir sama adalah Pengerusi PUKK, Jaafar Suleiman, Ketua Unit Penguatkuasaan PERKESO, Roszila Mat Salleh dan Ketua Unit Faedah PERKESO, Alzailani Kasmin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 5:10 PM