Zulkifli (kanan) menyampaikan bantuan mangsa banjir di Masjid Raudathul Falah, Kampung Iboi, Kupang. FOTO SAFURI KAMARUDIN.
Zulkifli (kanan) menyampaikan bantuan mangsa banjir di Masjid Raudathul Falah, Kampung Iboi, Kupang. FOTO SAFURI KAMARUDIN.
Safuri Kamarudin


Baling: Muslim Care Malaysia dan Yayasan Integrasi Al-huffaz memperuntukkan lebih RM100,000 bagi membantu mangsa terjejas dalam tragedi banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang, 4 Julai lalu.

Bantuan itu termasuk wang tunai, bantuan asas makanan dan barangan elektrik kepada 120 keluarga yang terjejas.

Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan berkata, bantuan itu bagi meringankan beban mangsa.

"Kita terpanggil untuk membantu kerana musibah yang berlaku dalam sekelip mata sehingga ada yang kehilangan ahli keluarga dan tempat tinggal.

"Banyak rumah yang dinaiki air sehingga paras bumbung dan penuh dengan lumpur," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Masjid Raudhatul Falah, Kampung Iboi, Kupang dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Duta Muslim Care Malaysia, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa, Senator Ahmad Yahya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayu, Nasir Idris.

Seorang mangsa, Rahimah Din, 58, dari Kampung Iboi, berkata, dia menjadi trauma dan takut setiap kali hujan turun

"Bayangkan tidak pernah berlaku seteruk ini dalam sekelip mata. Semua barang rosak tidak sempat diselamatkan," katanya.

Dia berkata, ramai pihak yang datang membantu dan menghulurkan bantuan termasuk wang tunai dan pelbagai barangan memasak.

"Sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung dengan bantuan yang dihulurkan," katanya.

Mazlan Yahya, 51, dari Kampung Simpang Tiga Bok Bak, berkata, dia rasa bersemangat meneruskan masa depan kerana ada pihak yang bersimpati.

"Mujur ramai pihak yang tidak putus-putus menghantar bantuan makanan, pakaian dan barangan dapur.

Meskipun hati rasa luluh tetapi tetap sabar dengan ujian Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 8:19 AM