Keadaan jambatan yang runtuh di Kampung Iboi selepas dilanda banjir lumpur kelmarin. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Keadaan jambatan yang runtuh di Kampung Iboi selepas dilanda banjir lumpur kelmarin. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengarahkan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) ke Kampung Iboi, Kupang, di sini, untuk melakukan tinjauan bagi melakukan pembinaan segera jambatan konkrit di kampung itu yang terputus akibat kepala air, Isnin lalu.

Beliau melalui laman Twitternya hari ini berkata, Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Seri Mahdzir Khalid menghubunginya semalam dan memohon bantuan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi pembinaan jambatan itu secepat mungkin.

"Anggota RAJD sudah turun ke lokasi pagi tadi," katanya.

Sementara itu, Mahdzir Khalid dalam kenyataannya semalam berkata, pembinaan jambatan itu penting bagi memudahkan penduduk melakukan aktiviti harian termasuk berulang alik ke sekolah dan masjid.

Menurutnya, ia (pembinaan jambatan sementara) perlu dilakukan kerana pembinaan semula jambatan konkrit memerlukan masa lama.

Dalam kejadian kepala air yang melanda daerah ini Isnin lalu menyebabkan 12 kampung terjejas dan ditenggelami air.

Kejadian itu turut menyebabkan jambatan konkrit di Kampung Iboi terputus sehingga menyukarkan penduduk untuk melalui kawasan itu.

Antara kampung terbabit adalah Kampung Iboi, Kampung Lata Celak, Kampung Padang Empang, Kampung Bukit Iboi, Kampung Masjid Iboi, Kampung Bendang Padang, Kampung Bendang Bechah, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Bukit Tinggi, Klinik Kampung Pisang dan Kampung Sadik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 1:18 PM