PENDUDUK berhimpun di Dataran Jambatan Bailey Kampung Iboi mendesak kerajaan memerdeka Gunung Inas yang menjadi punca kepala air dan banjir kilat. FOTO Safuri Kamaruin
PENDUDUK berhimpun di Dataran Jambatan Bailey Kampung Iboi mendesak kerajaan memerdeka Gunung Inas yang menjadi punca kepala air dan banjir kilat. FOTO Safuri Kamaruin
Safuri Kamarudin


Baling: Penduduk 13 kampung dalam Mukim Kupang di sini menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung apa yang berlaku di Gunung Inas.

Gesaan itu terkandung dalam satu memorandum yang akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas penduduk sebulat suara dalam perhimpunan mendesak kerajaan memerdekakan Gunung Inas, semalam.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Iboi (PKAI), Dr Mohd Syuhaimi Zakaria berkata memorandum akan diserahkan susulan kejadian kepala air dan banjir kilat di Kampung Iboi, Kupang 4 Julai lalu.

Beliau berkata, antara penduduk kampung terbabit Kampung Iboi, Bukit Iboi, Masjid Iboi, Bendang Bechah, Hangus, Sadek, Pekan Kupang, Kuala Kuang ,Seniyek, Jerai, Pisang, Tanjung dan Taman Mesra meminta kerajaan mendengar rintihan penduduk yang terabai sejak sekian lama.

Beliau berkata, dalam memorandum itu penduduk meminta ditubuhkan RCI untuk meneliti keseluruhan projek dan pihak yang berwajib supaya membuat siasatan secara menyeluruh dan lebih telus.

"Penduduk mengadakan perhimpunan dari akar umbi yang telah menjadi mangsa tragedi supaya didengari dan diberikan pembelaan sewajarnya dan pembelot serta pengkhianat alam sekitar harus diheret ke muka pengadilan.

"Hampir dua bulan kejadian ini berlaku dan masih tiada tindakan konkrit serta diambil oleh pihak-pihak terbabit sama ada daripada peringkat kerajaan negeri atau persekutuan," katanya ketika perhimpunan yang disertai lebih 300 penduduk di Dataran Jambatan Bailey Kampung Iboi di sini, semalam

Menurutnya, perhimpunan itu diadakan supaya pihak atasan mendengar rintihan dan suara penduduk kampung dan hak-hak mereka yang sekian lama diabaikan.

Katanya, penduduk kampung akan terus menuntut supaya suara mereka didengari dan hak mangsa banjir piung itu tidak dibiarkan tanpa pembelaan serta di beri pampasan.

"Kami mengemukakan lima asas desakan dan tuntutan suara kami iaitu keselamatan, ekonomi, alam sekitar, kebajikan dan kesihatan.

"Hasil daripada lima asas desakan itu kami mendesak kerajaan negeri supaya menyiasat dengan telus apa yang berlaku di Gunung Inas," katanya.

Beliau berkata, segala kertas kerja surat kelulusan, laporan penilaian kesan alam sekeliling (EIA) dan surat perjanjian hasil pembalakan kepada pemaju swasta dan negeri serta .laporan-laporan agensi terbabit dapat dibentangkan kepada masyarakat umum.

"Kami sebagai penduduk dan mangsa banjir berhak mengetahui segala fakta-fakta itu kerana kamilah yang menerima segala kesan buruk pembangunan ini.

"Kami tidak menolak pembangunan dan pembalakan hutan, namun biarlah pembangunan yang dijalankan itu adalah pembangunan yang mapan dan menjaga ekosistem alam serta masyarakat," katanya.

Mohd Syuhaimi berkata, penduduk tidak menentang segala pembangunan yang hasilnya hanyalah kepada mereka terpilih sahaja, sedangkan rakyat dan masyarakat hanya menanggung derita.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 11:08 AM