MANGSA banjir berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, Kupang FOTO ihsan APM
MANGSA banjir berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, Kupang FOTO ihsan APM
Safuri Kamarudin


Baling: Seramai 130 mangsa banjir membabitkan 37 keluarga masih berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS), sehingga jam 7 pagi ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, dua pusat pemindahan dibuka dan menempatkan 96 mangsa daripada 31 keluarga berada di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang.

Katanya, 34 mangsa lain daripada enam keluarga berada di PPS Dewan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus, Kupang.

Beliau berkata, penduduk diarahkan berpindah kerana rumah mereka dinaiki air sehingga ada mencecah satu meter dan bimbang ada yang terperangkap.

"Mangsa berpindah mulai 9 malam apabila keadaan rumah mereka tidak selamat berikutan air semakin naik dan hujan masih turun berterusan.

"Ini kali ketiga mangsa terjejas dengan banjir kilat yang tinggal berdekatan Sungai Kupang berpindah ke PPS," katanya.

Mohd Faizol berkata, banjir kilat petang semalam membabitkan penduduk di Taman Bayu Sejahtera dan Kampung Sungai Batu

"Di Mukim Kupang, ia membabitkan Kampung Iboi, Padang Empang, Hangus, Bendang Bechah, Tok Saba, Masjid Iboi, Lata Chelak, Bok Bak dan Tanjung Nering," katanya.

Beliau berkata, hujan lebat kira-kira 5 petang semalam menyebabkan air Sungai Kupang melimpah dengan cepat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 8:21 AM