Nor Fazlina Abdul Rahim


Tumpat: Permintaan lembu untuk ibadah korban di Kelantan meningkat tahun ini walaupun berlaku kenaikan harga haiwan ternakan itu yang agak tinggi.

Rata-rata penternak lembu mendakwa tempahan sudah dibuat orang ramai sebelum Aidilfitri lagi berikutan teruja untuk meraikan Aidiladha selepas dua tahun berdepan pandemik Covid-19.

Pada masa sama, harga lembu tahun ini turut menyaksikan peningkatan mendadak mencecah RM4,000 sehingga RM6,000 berbanding sebelum ini hanya RM3,000 hingga RM4,000.

Penternak, Mohd Shahbuddin Awang, 34, mengakui permintaan lembu memberangsangkan tahun ini apabila lebih 30 lembu sudah ditempah untuk ibadah korban.

"Pada awalnya saya tidak menjangka sambutan menggalakkan memandangkan berlaku kenaikan harga yang agak ketara, mungkin disebabkan orang ramai teruja untuk membuat ibadah korban selepas dua tahun berdepan pandemik Covid-19," katanya ketika ditemui di Kampung Bendang Luas, di sini, hari ini.

Bapa kepada dua cahaya mata yang sudah menternak lembu untuk jualan sejak 16 tahun lalu itu berkata, dia terpaksa menaikkan harga lembu memandangkan harga yang diterima daripada pembekal sudah tinggi selain kos penjagaan turut meningkat.

"Pada awalnya ramai juga yang mempertikai kenaikan harga, namun saya menjelaskan dengan baik supaya mereka faham apa yang berlaku bukan kita sengaja, sebaliknya kos makanan lembu sudah meningkat.

"Kesemua lebih 30 lembu yang ditempah ini akan dihantar bermula Khamis ini selepas mendapat permit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 3:40 PM