GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

 

 

Kuala Lumpur: Kos makanan, ubatan dan bekalan yang terhad menjadi antara faktor pendorong kepada kenaikan harga lembu sempena Aidiladha bulan depan.

Penternak dari Pontian, Johor, Mohd Faiz Mohd Ramli berkata, harga haiwan ternakan itu mengalami kenaikan untuk seekor lembu seberat 180 kilogram (kg) hingga 200kg.

Beliau berkata, makanan haiwan seperti dedak, soya dan rumput napier juga mengalami kenaikan agak mendadak sejak beberapa bulan lalu menyebabkan kos ternakan juga meningkat.

"Lembu untuk ibadah korban memang mendapat permintaan tinggi selepas ibadah itu dibenarkan pada Aidiladha tahun ini namun kos ternakan juga meningkat.

"Untuk pastikan lembu sihat dan berat cukup, penternak perlu berikan vaksin dan vitamin tetapi harga bahan itu turut meningkat lebih 50 peratus pada harga RM5,000 berbanding hanya RM2,000 sebelum ini," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, harga lembu juga dijangka akan meningkat lagi pada Julai ini namun jumlah kenaikan masih belum dapat dipastikan kerana bergantung kepada harga semasa makanan dan vitamin tambahan.

Sementara itu, penternak dari Jitra, Kedah, Mohamad Zaini Hashim berkata, lembu dari Thailand yang terhad selain tempoh kuarantin yang ditambah daripada 14 hari kepada 28 hari menyebabkan stok haiwan itu berkurang dengan mendadak.

Katanya, tempoh kuarantin yang panjang menyebabkan penternak perlu mengeluarkan kos tambahan sehingga RM10 bagi setiap hari kuarantin ternakan itu oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

"Tempoh kuarantin sebelum ini 14 hari tetapi dipanjangkan sehingga 28 hari oleh agensi berkaitan menyebabkan kami perlu tanggung kos tambahan.

"Keadaan ini menyebabkan harga ternakan itu juga meningkat kerana penternak perlu menambah kos untuk setiap ekor lembu yang dikuarantin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 2:21 PM